Cukup mencabar kesabaran aku menunggu surat Hitam Putih dari Tabung Haji bagi mengesahkan status penerbangan Haji. Dalam hati ada was-was, samada dapat ke tidak. Perlu tak aku war-warkan kepada sahabat2 dan jiran2 tentang berita baik ini tanpa pengesahan rasmi. Eee ngerinya kalau terberitau tapi tak jadi. Memang malu.
Haji Adalah Jihad
Daripada Aishah r.a berkata ia kepada Rasulullah S.A.W bahawa: "Kami percaya bahawa berjihad itu adalah amalan yang paling utama, mengapa kami tidak berjihad, maka sabda Rasulullah S.A.W bagi kami sebaik-baik jihad itulah HAJI MABRUR". (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Inilah antara Jihad yang paling besar sepanjang hidup aku, Insya Allah. Haji ini juga paling bermakna disebalik pelbagai dugaan dan rintangan dalam perniagaan dan keluarga, aku pergi mengiringi dua orang wanita antara yang paling ku sanjungi iaitu Ibu ku sendiri dan juga Ibu Mertua ku.
Dalil Wajib Haji
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar untuk ibadat haji) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun) dari sekalian makhluk" Surah Ali Imran:Ayat 97
Atas kewajipan yang ditetapkan oleh Allah, Insya Allah pada Rabu 11 November 2009 jam 7.25pagi aku akan melaporkan diri di Lapangan Terbang Senai sebelum berangkat terbang terus ke Mekah. Aku akan berada di Mekah/Madinah selama 44 hari. Penerbangan menaiki pesawat MH8064 dengan nombor pernerbangan KT64.
Insya Allah akan terbang pulang melalui Jeddah pada 23 Disember 2009 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Senai pada 25Disember 2009 jam 7.25 pagi.
Semoga perjalanan ini dirahmati dan dibawah lindungan Allah SWT.
Di kesempatan ini aku memohon berbanyak-banyak kemaafan kepada rakan-rakan online dan offline. Yang aku kenal dan juga tidak. Rasanya mustahil tiada yang terguris perasaan sepanjang perkenalan kita, baik dari segi perkataan atau perbuatan. Maafkan aku. Halalkan juga apa-apa yang termakan dan terminum.
Doakan perjalanan aku selamat pergi dan pulang. Doakan segala ibadah ku diterima Allah dan dikurniakan Haji yang Mabrur.
Segala yang baik dalam kehidupan seharian dan apa yang diimpikan menjadi kenyataan Insya Allah akan ku doakan buat semua.
Semoga berjumpa lagi. Wassalam.